Thursday, June 26, 2008

ALYAH NEKAD BUAT COMEBACK SOLO

26-Jun-2008 Oleh: Roslen Fadzil

(Petikan murai.com.my)



Kekecewaan lalu tidak pernah mematahkan semangat Alyah atau nama sebenarnya, Noor Hasliah Abu Hassan, untuk kembali merakamkan album. Tiada istilah serik yang melintas kerana dia yakin kalau bijak mendapatkan lagu yang bermutu, peminat masih menyokong industri rakaman.

Dari segi nyanyian, suara dan bakat Alyah, 27, tidak seharusnya dipersoalkan kerana dia sememangnya mempunyai suara yang merdu dan lantang. Jika tidak, masakan dia yang awalnya menggunakan nama Alya, terpilih menjadi juara Bintang HMI terbitan RTM pada 2000.

Kemudian Alyah mendapat tawaran menjadi artis rakaman termasuk EMI Malaysia tetapi nasibnya kurang menyerlah.

Sementara menunggu album dipasarkan dia menyertai pertandingan One In A Million (OIAM) seangkatan Dayang Nurfaizah dan Suki. Walaupun terpaksa melangkah keluar awal, dia tetap berjaya menonjolkan bakatnya di mata peminat.

Nasibnya kurang baik lagi apabila projek album solonya terus tertangguh dan dia minta untuk dilepaskan. Alyah kemudiannya menyertai kumpulan hip hop Fabulous Cat. Sesudah beberapa lama, Alyah ada cadangan menyertai kumpulan lain iaitu Recall dan One Nation Emcees tetapi tidak sempat beraksi dalam GangStarz musim kedua.

"Memang nasib tidak begitu menyebelahi saya tetapi saya tetap tidak mahu berputus asa untuk meneruskan cita-cita menjadi penyanyi terkenal. Selama ini saya menimba banyak pengalaman dan tidak ada apa yang perlu dikesalkan.

"Sebagai satu kelainan dan mencari kesegaran, saya ingin menukar nama komersial daripada Alya kepada Alyah. Saya sudah bersedia 100 peratus untuk membuat comeback secara solo. Sekarang saya sedang mengumpul lagu yang bermutu kerana ia penting untuk menaikkan nama seseorang penyanyi.

"Bagi saya, bakat saja tidak cukup kalau kita tidak mencari jalan bagaimana untuk memasarkan bakat kita itu," katanya yang semakin jelita dan menawan dan mempunyai seorang pengurus, Wan.

Alyah berharap album terbarunya dapat diedarkan selepas Aidilfitri nanti. Antara komposer yang sedang bekerjasama dengannya adalah Ajai, Azlan Abu Hassan serta beberapa lagi komposer lain.

No comments:

Post a Comment