Saturday, November 29, 2008

Ajai, Alyah Serasi Bersama




MENGENALI Ajai, nyata beliau mempunyai cara sendiri dalam mencungkil bakat penyanyi. Masakan mudah bagi Ajai menurunkan ilmu muzik jika tidak kena gaya. Jika mengikut standard Ajai, hanya bakat serta potensi artis menjadi penanda aras dalam menzahirkan keserasian untuk bekerjasama.


Faktor itulah yang menjadi kayu ukur serta prasyarat Ajai kepada bintang muda, Alyah untuk muncul dengan album terbaru, sekali gus menjadi anak didiknya. Tiada alasan lain bagi Ajai, selain melihat potensi dimiliki penyanyi kelahiran Gelang Patah, Johor ini untuk pergi lebih jauh dalam dunia showbiz.


"Saya melihat Alyah mempunyai bakat yang tidak wajar dipersiakan. Tidak lengkap pakej sebagai penyanyi jika seseorang itu tidak mempunyai bakat. Seperti mana Alyah, saya dapati dia mempunyai faktor itu yang mampu menyerlahkan kualiti yang dimilikinya,” kata Ajai pada sidang media dan pelancaran album Alyah di Avilion Port Dickson, Negeri Sembilan, baru-baru ini.


Kata Ajai, kesungguhan Alyah sepanjang proses pembikinan album memuaskan hati apabila artis itu sendiri tidak mudah mengalah demi mencapai standard yang dikehendaki. Alyah juga tidak mudah berputus asa bagi memastikan buah tangan kali ini diterima peminat.


Ditanya proses keseluruhan album penyanyi yang pernah menggilap nama dalam program realiti, One In The Million (OIAM) itu, kata Ajai, tidak sukar untuk mencorak gaya Alyah kerana kemampuan vokal penyanyi itu terbukti melalui anugerah yang diraihnya.


“Cuma mungkin bukan tuah berpihak kepadanya sebelum ini menyebabkan bakatnya seakan tidak disedari. Sebab itu, saya nekad memastikan bakatnya kali ini tidak dipersiakan. Ia seperti juga pasukan bola sepak Chelsea. Walau sehebat mana pun pemain kelab terkenal Inggeris itu, tidak bermakna andai tidak dikemudi jurulatih yang mampu membentuk menjadi pasukan hebat. Begitu halnya penyanyi jika tidak bersama dengan penerbit album,” kata Ajai yang ternyata berpuas hati dengan kelahiran album yang diberi judul Alyah itu.


Ajai juga melahirkan rasa terharu kerana lagu ciptaannya Tak Mungkin Kerana Sayang menampilkan kerjasama sulungnya secara solo bersama penulis lirik tersohor, Habsah Hassan. Apatah lagi, album yang menelan belanja lebih RM100,000 itu juga menampilkan dua klip video Tak Mungkin Kerana Sayang dan Ku Pinjam Satu Bintang yang dihasilkan di Indonesia.


Tiada yang lebih bermakna bagi empunya nama Noor Hasliah Abu Hassan selain mengharapkan tuah menyebelahinya menerusi album, Alyah. Meniti perkembangan kariernya dalam bidang seni, Alyah melalui pelbagai cabaran dan rintangan.


Walaupun pernah menghasilkan album sulung berjudul Haslia pada 2001, juara Bintang HMI 2000 itu tidak sempat mengekspresi bakat kerana album itu tidak sempat dipromosikan.


Dugaan menguji Alyah sekali lagi apabila album kedua bersama syarikat EMI berjudul Permata yang berkonsepkan pop komersial, kurang mendapat sambutan. Bangkit daripada pengalaman lalu, Alyah nekad mencuba nasib menyertai siri realiti OIAM sekali gus berjaya layak di kelompok 12 terbaik.


“Album ini adalah isi hati Alyah dan kelahiran semula Alyah. Menjadi impian Alyah untuk peminat mengenali bakat, suara dan persembahan yang cuba Alyah tampilkan,” kata Alyah mengenai albumnya yang diterbitkan Wake The Baby dan Complete Versian serta diedarkan Maestro Records.


"Nyanyian adalah jiwa Alyah, walaupun suatu ketika dulu pernah ditentang arwah ayah. Tetapi, alhamdulillah selepas melihat kejayaan Alyah, keluarga memberi sokongan 100 peratus,” kata Alyah yang turut berduet dengan naib juara Akademi Fantasia musim keenam, Riz menerusi lagu Ku Pinjam Satu Bintang.


Sempena kelahiran album terbarunya itu, Alyah muncul dengan pangkal nama Alyah. Jika ada yang perasan, Alyah pernah muncul dengan nama Haslia sebelum bertukar kepada Alya sebagaimana yang dikehendaki EMI ketika bernaung di bawah syarikat rakaman gergasi itu pada 2004.


“Nama Alya muncul ketika bersama dengan EMI dan mereka mahukan nama itu kerana lebih komersial. Namun, kali ini saya memilih untuk nama Alyah kerana nama penuh saya sendiri Noor Hasliah. Dia pernah berganding seketika bersama kumpulan hip hop, Fabulous Cats sebelum mengundur diri atas sebab kesihatan.


Album terbaru yang dijangka menjengah pasaran akhir bulan ini berkonsepkan pop Indo dan mengandungi lapan lagu serta dua klip video eksklusif arahan Hedy Suryawan. Selain Ajai dan Omar, album Alyah turut membariskan penulis lirik terkenal seperti Habsah Hassan, Slen dan Abie.


ROMBONGAN media dibawa khas dari Kuala Lumpur ‘dibelai’ sepanjang tiga hari berada di Port Dickson. Sidang media dan pelancaran album Alyah di Avilion Village Resort itu adalah strategi Alyah untuk memasarkan album terbarunya.


“Memahami tugas wartawan yang sentiasa sibuk, tidak salah rasanya jika buat promosi di luar Kuala Lumpur. Dapat juga Alyah mengenali lebih dekat kumpulan wartawan yang selama ini menyokong kerjaya seni Alyah. Alyah sendiri dapat mempelajari dan mendapat komen bernas daripada wartawan hiburan untuk kebaikan Alyah,” kata Alyah.


Promosi album - Alyah itu nyata mempunyai strategi istimewa. Bagaikan program hari keluarga di mana kumpulan media cetak dan elektronik diraikan dalam acara sukaneka, karaoke dan cabutan nombor bertuah, sekali gus melepaskan seketika tekanan kerja di pejabat.


Selain pemberian hadiah serta pelbagai acara menarik, kumpulan wartawan juga berpeluang menetap di hotel chalet terapung menghadap laut, sekali gus berpeluang menikmati keindahan panorama Selat Melaka. Layanan kelas pertama bukan bermakna memanjakan wartawan hiburan, tetapi baginya sebagai memori manis bersama wakil media hiburan dalam acara promosi album. Melihatkan ‘kemewahan’ acara promosi itu, Alyah menyifatkan itu adalah strategi tersendiri syarikat pengurusannya, Complete Version dan Wake The Baby.

Monday, November 24, 2008

LAGU LAGU ALYAH DIJANGKA MELETUP!

24-Nov-2008 Oleh: Thani Hasbullah





Meskipun dia belum lagi bergelar artis popular, penyanyi Alyah tetap menunjukkan kesungguhan yang ketara apabila menganjurkan majlis pelancaran album solonya dengan grand dan meriah. Melihat strategi yang dilakukan, wartawan sendiri berbisik, penyanyi top seperti Datuk Siti Nurhaliza dan Mawi pun tidak pernah melancarkan album seperti mana yang dilakukan oleh Alyah dan syarikat pengurusannya, Wake The Baby.

Apa yang mengejutkan, ada pihak melontarkan gosip bahawa majlis itu ditaja oleh seorang sugar daddy sedangkan orang itu adalah abang kandung Alyah sendiri yang dikenali sebagai Bob. Memang bertuah Alyah kerana mempunyai seorang abang yang sanggup berhabis wang ringgit demi melihat adiknya yang sungguh berbakat itu kembali mengukir nama di persada seni.

Acara selama 3 hari mulai 15 November 2008 itu berlangsung di resort percutian terkemuka Avillion, di Port Dickson. Ia dipenuhi dengan pelbagai acara meriah seperti sukaneka, showcase pelancaran album, sidang media serta malam pakaian beragam bertemakan Aloha atau Hawaii.

Semua itu bertujuan mengeratkan semula hubungan antara Alyah atau nama sebenarnya, Noor Hasliah Abu Hassan, dengan rakan wartawan kerana agak lama juga dia berjauhan daripada dunia rakaman. Alyah, 27, kini adalah artis Wake The Baby, syarikat milik komposer Ajai dan album solonya itu akan diedarkan oleh Maestro Records bulan ini.

Bagi yang belum mengenali Alyah, dia sebenarnya sudah lama menyanyi dan mempunyai banyak pengalaman dalam persembahan secara live sejak di bangku sekolah lagi.

Beliau pernah menyertai Bintang Wirawan EON 1994, Bintang Pepsi 1996, Asia Bagus! 1997, Bintang Suara Johor 1997, Bintang HMI 2000 dan seterusnya Gangstarz dan One In A Million. Alyah juga pernah menjadi artis EMI Malaysia pada awal alaf baru tetapi nasibnya ketika itu masih kurang menjadi.

Kini selepas mendapat semangat baru, Alyah dengan bimbingan Ajai dan Maestro Records, sudah bersedia untuk membuat comeback dalam bidang rakaman. Lagu-lagunya sudah pun diperdengarkan kepada pihak media tempatan ketika di Port Dickson tempoh hari dan rata-rata akui ia mempunyai nilai komersial untuk meletup di corong radio.

Antara lagu paling menarik ialah Tak Mungkin Kerana Sayang (lirik karya Habsah Hassan) dan Ku Pinjam Satu Bintang yang kedua-duanya ciptaan Ajai. Apa yang menarik, lagu Ku Pinjam Satu Bintang yang bercorak dance pop menampilkan Alyah berduet dengan bintang Akademi Fantasia 6 (AF6), Riz.

Malah lirik lagu Ku Pinjam Satu Bintang sebenarnya dihasilkan oleh Ketua Editor murai.com.my sendiri, Roslen Fadzil yang sinonim dengan nama pena Slen. Slen sebelum ini pernah menghasilkan lirik lagu seperti Cerita Asmara (Dr Fazley), Riwayat Cinta (Misha Omar), Lagu Rindu (Nurul & Ajai), Lembah Asmara (Ziana Zain) serta Pelita Di Bawah Purnama (Erema).

Kedua-dua klip video Alyah itu telah dilakukan oleh Ajai di Indonesia dan ketika mendengar lagu Ku Pinjam Satu Bintang, krew Indonesia menyangka lagu itu karya Melly Goeslaw. Mereka ternyata menyukai lagu itu kerana ia mudah difahami dan mencadangkan supaya ia dipasarkan ke republik itu selepas ini. Kita tunggu dan lihat.

Thursday, June 26, 2008

ALYAH NEKAD BUAT COMEBACK SOLO

26-Jun-2008 Oleh: Roslen Fadzil

(Petikan murai.com.my)



Kekecewaan lalu tidak pernah mematahkan semangat Alyah atau nama sebenarnya, Noor Hasliah Abu Hassan, untuk kembali merakamkan album. Tiada istilah serik yang melintas kerana dia yakin kalau bijak mendapatkan lagu yang bermutu, peminat masih menyokong industri rakaman.

Dari segi nyanyian, suara dan bakat Alyah, 27, tidak seharusnya dipersoalkan kerana dia sememangnya mempunyai suara yang merdu dan lantang. Jika tidak, masakan dia yang awalnya menggunakan nama Alya, terpilih menjadi juara Bintang HMI terbitan RTM pada 2000.

Kemudian Alyah mendapat tawaran menjadi artis rakaman termasuk EMI Malaysia tetapi nasibnya kurang menyerlah.

Sementara menunggu album dipasarkan dia menyertai pertandingan One In A Million (OIAM) seangkatan Dayang Nurfaizah dan Suki. Walaupun terpaksa melangkah keluar awal, dia tetap berjaya menonjolkan bakatnya di mata peminat.

Nasibnya kurang baik lagi apabila projek album solonya terus tertangguh dan dia minta untuk dilepaskan. Alyah kemudiannya menyertai kumpulan hip hop Fabulous Cat. Sesudah beberapa lama, Alyah ada cadangan menyertai kumpulan lain iaitu Recall dan One Nation Emcees tetapi tidak sempat beraksi dalam GangStarz musim kedua.

"Memang nasib tidak begitu menyebelahi saya tetapi saya tetap tidak mahu berputus asa untuk meneruskan cita-cita menjadi penyanyi terkenal. Selama ini saya menimba banyak pengalaman dan tidak ada apa yang perlu dikesalkan.

"Sebagai satu kelainan dan mencari kesegaran, saya ingin menukar nama komersial daripada Alya kepada Alyah. Saya sudah bersedia 100 peratus untuk membuat comeback secara solo. Sekarang saya sedang mengumpul lagu yang bermutu kerana ia penting untuk menaikkan nama seseorang penyanyi.

"Bagi saya, bakat saja tidak cukup kalau kita tidak mencari jalan bagaimana untuk memasarkan bakat kita itu," katanya yang semakin jelita dan menawan dan mempunyai seorang pengurus, Wan.

Alyah berharap album terbarunya dapat diedarkan selepas Aidilfitri nanti. Antara komposer yang sedang bekerjasama dengannya adalah Ajai, Azlan Abu Hassan serta beberapa lagi komposer lain.